Dalam post sebelum ni, kami membuat sedikit pengenalan kepada website kami ni.
Seterusnya, dalam post ini kami akan memasukkan semula 2 post facebook kami dalam Siapa Muslim siri 1 & 2:
Siri Pertama
Perkataan muslim berasal dari perkataan Arab bermaksud orang yang beragama Islam. Muslim secara asasnya ialah sesiapa yang mengucap dua kalimah shahadah, tidak kira apa bangsa sekalipun.
Dalam konteks Malaysia, tidak kiralah sama ada dia berbangsa Melayu, Cina atau India apabila mereka mengucap dua kalimah shahadah, mereka adalah muslim yang akan kita beri keutamaan untuk sama-sama sokong perniagaannya jika mereka seorang peniaga. Setuju?
Siri Kedua
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA daripada Nabi SAW bersabda: “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslim (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Hadith riwayat al-Bukhari,No.10, 6484, Muslim, No.40)
Matan Hadith:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
صحيح البخاري , كتاب الإيمان , باب المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده , حديث 10 , عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنه
Pengajaran Hadith :
1. Asal perkataan Islam adalah dari perkataan SALAM yang bermaksud selamat sejahtera. Perkataan Muslim bererti orang yang selamat iaitu yang memberi keselamatan dan menerima keselamatan. Justeru, jika seseorang itu tiada sifat selamat dalam dirinya seumpama tiada Islam dalam dirinya.
2. Muslim yang sempurna mestilah menunaikan rukun-rukun agama sedaya upayanya dan tidak sekali-kali akan melakukan sebarang angkara dan pencerobohan terhadap orang yang tidak mengganggu keselamatannya, sama ada dengan lidahnya atau dengan tangannya atau dengan apa jua sekalipun. Sebaliknya jika seseorang Muslim sanggup melakukan sebarang perkara yang merosakkan orang lain, maka dia termasuk dalam golongan orang yang tidak sempurna Islamnya.
3. Seseorang Muslim yang baik juga ialah apabila dia mampu menjaga keselamatan orang lain selepas dirinya berhijrah meninggalkan perkara-perkara buruk yang dimurkai Allah SWT.
Sumber Rujukan :
1- Kitab Sahih al-Bukhari
2- Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
3- Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi
4- Mastika Hadith
Sumber: http://www.islam.gov.my/